4 maut dalam tembakan di Sao Paulo, Brazil

Empat orang, termasuk seorang pegawai polis tentera dan tiga suspek perompak, terbunuh dalam kejadian tembakan awal Sabtu di bandar Sorocaba di negeri Sao Paulo, Brazil, kata pihak berkuasa, menurut berita Xinhua.

Kejadian itu susulan rompakan di sebuah farmasi di kawasan kejiranan Campolim. Polis menemui suspek sejurus selepas jenayah itu, yang membawa kepada kejadian berbalas tembakan.

Seorang pegawai berusia 28 tahun ditembak di kepala dan kemudian meninggal dunia akibat kecederaannya.

Tiga suspek terbunuh dalam kejadian tembakan itu, manakala seorang lagi ditangkap dan seorang lagi melarikan diri, kata polis.

Menurut pihak berkuasa, dua revolver dengan nombor siri yang dipadam dan sepucuk pistol replika dirampas di tempat kejadian.