Seorang ibu dan dua anaknya terkorban dan dua lagi cedera selepas bumbung rumah mereka runtuh di wilayah Wardak, timur Afghanistan, pada malam Ahad, kata jurucakap polis wilayah Mohammad Yusuf Israr pada Isnin, lapor Xinhua.
Kejadian itu berlaku di daerah Jaghato di tengah-tengah hujan lebat pada malam Ahad, kata pegawai itu, sambil menambah ahli keluarga yang cedera telah dipindahkan ke pusat kesihatan berdekatan.
Terdahulu, kejadian serupa meragut nyawa dua kanak-kanak dan mencederakan lima lagi di wilayah Nangarhar pada Jumaat.
Hujan lebat dan banjir kilat telah mengorbankan hampir 100 orang dan mencederakan lebih 150 orang lain sejak 10 hari lalu di Afghanistan. Jabatan meteorologi negara itu meramalkan lebih banyak hujan dalam 24 jam akan datang di beberapa bahagian negara.