Konsulat Jeneral China di Jeju (ROK) mengesahkan pada Selasa, orang yang hilang selepas terjatuh ke dalam perairan dekat Pulau Jeju, Korea Selatan pada Isnin adalah seorang warga China, dengan operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan, lapor Xinhua.
Xinhua melaporkan, menurut media Korea Selatan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6:46 pagi pada Isnin di atas kapal persiaran yang dalam perjalanan dari Pulau Jeju ke China. Seorang terjatuh ke laut dan sejak itu dilaporkan hilang.
Kejadian itu berlaku di perairan kira-kira 34 kilometer barat daya Marado, di luar Bandar Seogwipo.
Susulan laporan itu, pengawal pantai menggerakkan dua kapal peronda, bersama-sama dengan kakitangan dan peralatan, untuk menjalankan operasi mencari.
Tentera laut Korea Selatan dan pihak berkuasa wilayah Jeju juga menyertai usaha menyelamat. Punca kejadian itu masih belum diketahui.