Seorang wanita Jerman terbunuh dan seorang juruterbang cedera parah selepas sebuah pesawat ringan terhempas dekat Penempatan Aus di Wilayah Kharas selatan Namibia pada pagi Ahad, lapor Xinhua.
Mangsa, yang dikenal pasti sebagai Carmen Spetzinger, 51 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian, pihak berkuasa memberitahu penyiar kebangsaan Namibia NBC pada Isnin, menurut Xinhua.
Polis mengesahkan juruterbang, warga Jerman berusia 60 tahun, Saneke Bernhard, terselamat dalam nahas itu dengan kecederaan parah dan telah diterbangkan oleh Medical Rescue Africa dari bandar pesisir Luderitz ke sebuah hospital swasta di ibu negara, Windhoek, di mana dia berada dalam keadaan stabil.
Nicodemus Mbango, ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Kharas, berkata penemuan awal menunjukkan pesawat itu terbang pada altitud rendah apabila ia melanggar kabel elektrik, yang membawa kepada nahas itu.
“Bangkai pesawat itu dikawal polis dan siasatan sedang dijalankan untuk menentukan punca sebenar,” kata Mbango.